Ujian perubatan ke atas kecederaan buku lali yang dialami Neymar ketika Paris Saint-Germain (PSG) tewas kepada Lyon hujung minggu lalu tidak membimbangkan tetapi pemain itu perlu menjalani ujian susulan.

Bintang Brazil itu diusung keluar padang selepas menerima terjahan keras daripada Thiago Mandes dalam kekalahan 0-1 di Parc des Princes itu.

Laporan awal mendapati Neymar, yang kelihatan menangis ketika diusung keluar, mengalami patah pergelangan kaki dan Mendes turut diarahkan keluar padang selepas penilaian video bantuan pengadil (VAR).

PSG memberikan perkembangan terkini mengenai ujian imbasan pertama Neymar dengan berkata dalam satu kenyataan: "Ujian perubatan yang dijalankan ke atas Neymar Jr mendapati buku lali pemain itu, yang terseliuh ketika perlawanan menentang Lyon Ahad lalu, tidak membimbangkan.

"Ujian lanjut akan dijalankan dalam tempoh 48 jam."

Neymar menghasilkan tiga gol dan tiga bantuan jaringan dalam tujuh penampilan Ligue 1 buat PSG, yang terjatuh ke tangga ketiga, musim ini.