VIDI 2 CHELSEA 2

Maurizio Sarri meredakan kebimbangan mengenai tahap kecederaan lutut Alvaro Morata ketika Chelsea seri 2-2 dengan Vidi, awal pagi tadi.


Morata terpaksa dikeluarkan di penghujung babak pertama dalam aksi di Arena Groupama itu setelah mengalami kecederaan di lutut kirinya.

Olivier Giroud, yang menggantikan tempatnya untuk mengetuai jentera serangan, menyelamatkan maruah Chelsea apabila mengikat kedudukan melalui lencongan sepakan percumanya pada minit ke-75 setelah The Blues ketinggalan ekoran gol sendiri Etan Ampadu dan jaringan Loic Nego yang memadamkan gol pembukaan Willian.

Begitupun, Sarri segera meredakan kekhuatiran terhadap nasib malang yang menimpa Morata itu biarpun beliau mengesahkan Chelsea hanya akan mengetahui kedudukan sebenar tahap kecederaan penyerangnya itu, lewat hari ini.

"Tidak, pemeriksaan awal doktor menganggap kecederaannya tidaklah terlalu teruk, tidak serius," kata Sarri dalam sidang akhbar.

"Bagaimanapun, sudah tentu dalam keadaan ini kami perlu menunggu sehingga esok untuk saya mengenal pasti apakah keadaan itu serius."

Dengan Sarri membuka pintu untuk ketua pasukan, Gary Cahill, untuk berhijrah bulan depan, Ampadu diberikan peluang untuk bergandingan bersama Andreas Christensen.

Sungguhpun menjaringkan gol sendiri, Sarri menegaskan dia kagum dengan persembahan Ampadu.

"Jaringan sendirinya itu bukan kesilapan Ampadu," tambah Sarri.

"Kami menggunakan taktikal menandakan zon ketika bertahan. Apabila lawan menyentuh bola terlebih dahulu dalam situasi itu, ia merupakan masalah yang amat besar.

"Saya fikir dia telah beraksi dengan sangat bagus, khususnya dalam pasukan seperti ini. Ia akan lebih mudah buat Ampadu sekiranya saya tidak membuat rombakan besar.

"Kami membuat 10 pertukaran pemain (dalam kesebelasan utama), jadi tidak mudah untuk pemain muda beraksi dengan pasukan berwajah baru dalam salah satu perlawanan seperti ini, saya sangat gembira dengan Ampadu."