Senarai penyerang Atletico Madrid kian berkurangan apabila Alvaro Morata disahkan mengalami kecederaan dan berkemungkinan tidak dapat diturunkan ketika bertemu Liverpool dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Morata terpaksa dikeluarkan dalam babak kedua ketika pasukannya tewas 0-1 kepada pendahulu LaLiga, Real Madrid, kelmarin dan hasil ujian kesihatan mendapati pemain itu mengalami kecederaan otot di kaki kanannya.

Berdasarkan laporan media di Sepanyol, Morata akan terlepas perlawanan menentang Granada hujung minggu ini dan perlu segera pulih seandainya mahu diturunkan ketika menentang Liverpool, 18 Februari ini.

Atletico, yang tidak pernah menang sepanjang lima perlawanan terakhir dalam kesemua kejohanan, turun tanpa Joao Felix dan Diego Costa ketika ditewaskan oleh Madrid di Santiago Bernabeu.

Felix tidak sempat pulih sebelum perlawanan 'El Derbi' itu walaupun kecederaannya dikatakan tidak terlalu serius.

Costa pula dijangka hanya dapat kembali diturunkan dalam perlawanan menentang Liverpool.

Atletico kini di tangga keenam LaLiga dengan perbezaan tiga mata dengan kelompok empat teratas.



Editor: Muzaffar Musa