Kecederaan Morata buat Zidane tambah pening

Oleh Stefan Coerts 16 November 2016 0
Kecederaan Morata buat Zidane tambah pening
Real Madrid menerima tamparan hebat apabila penyerang mereka, Alvaro Morata, ditimpa kecederaan hamstring yang akan meminggirkannya daripada pertemuan getir menentang Atletico Madrid pada hujung minggu ini dan Barcelona, awal bulan hadapan. 

Pemain berusia 24 tahun itu mengalami kecederaan tersebut ketika Sepanyol mencatatkan keputusan seri 2-2 dengan England dan beberapa siri pemeriksaan kesihatan sudah dijalankan. 

Madrid mendedahkan penyerang itu didapati mengalami masalah otot di bahagian kaki kanannya dan bakal direhatkan. 

"Selepas pemeriksaan dijalankan ke atas Alvaro Morata di Hospital Universiti Sanitas La Moraleja sebelum sesi latihan pada Rabu lalu, dia didapati mengalami kecederaan otot tahap dua di bahagian hamstring kaki kanan," demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh laman rasmi kelab itu. 

"Proses pemulihannya akan dipantau."

Masih belum dapat dipastikan selama manakah Morata akan tersisih, namun laporan di Sepanyol mengatakan dia akan berehat selama sebulan. 

Bekas pemain Juventus itu sudah menjaringkan lapan gol di semua pertandingan dalam 17 penampilan bersama Madrid musim ini. 

Perkembangan Morata itu bakal menjejaskan perancangan Zinedine Zidane bagi aksi berdepan Atletico berikutan Karim Benzema juga masih bergelut dengan masalah otot. 

Tentang Penulis

Stefan Coerts

Komen