Pemain tengah Inter, Stefano Sensi, dijangka terlepas pertemuan dengan Sassuolo petang esok selepas mengalami kecederaan berbeza di paha kanannya.

Pemain antarabangsa Itali itu, yang sedang dipinjamkan, kembali berlatih menjelang pertemuan Serie A hujung minggu ini tetapi mengadu dihimpit masalah "kecil", kata satu kenyataan Inter.

Ujian imbasan semalam mengesan ketegangan di paha yang sama ketika dia tercedera dalam kekalahan 1-2 kepada Juventus sebelum rehat antarabangsa minggu lalu.

Sensi bertahan sehingga minit ke-34 dalam perlawanan itu dan mungkin terlepas pertembungan getir dengan Borussia Dortmund dalam Liga Juara-Juara (UCL) minggu depan selain aksi esok dengan kelab yang ditinggalkannya Julai lalu itu.

"Ujian hari ini mendedahkan ketegangan di otot psoasnya," kata Inter.

"Keadaannya akan dinilai dalam beberapa hari akan datang."

Sensi dipinjam daripada Sassuolo dan dijangka membuat perpindahan tetap dengan bayaran €25 juta (RM116.8j) pada akhir kempen ini.

Pemain berusia 24 tahun itu merupakan salah satu faktor utama dalam permulaan garang skuad Nerazzurri di bawah kendalian Antonio Conte itu apabila sudah meledak tiga gol dalam tujuh penampilan liga.