Serge Gnabry tidak mengalami kecederaan serius ketika Bayern Munich menewaskan Freiburg 2-1 dalam Bundesliga malam tadi, kata Hansi Flick.

Pemain kebangsaan Jerman itu tidak beraksi ketika pasukannya tewas kepada Borussia Monchengladbach minggu lalu gara-gara kecederaan tulang kering tetapi beraksi selama 90 minit ketika pasukannya dikejutkan dengan kekalahan dalam penentuan penalti kepada Holstein Kiel dalam DFB Pokal, Rabu lalu.

Dia terpaksa dikeluarkan pada minit ke-28 perlawanan di Arena Allianz malam tadi tetapi Flick berasakan pemain sayap itu tidak akan berehat panjang.

"Kecederaannya tidak serius berdasarkan apa yang saya dengar daripada doktor. Otot di bahagian belakang tubuhnya kekejangan," kata ketua jurulatih Bayern itu.

Bayern mendahului ketika Gnabry dikeluarkan hasil jaringan ke-21 Robert Lewandowski musim ini, rekod tertinggi dalam separuh musim pertama Bundesliga dan mengatasi pencapaian Gerd Muller (20) dalam musim 1968-69.

Nils Petersen kemudian menyamakan kedudukan buat Freiburg pada minit ke-62, hanya 28 saat selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.

Tetapi Leroy Sane, yang menggantikan Gnabry dalam babak pertama, membantu jaringan Thomas Muller -- yang turut mendaftarkan bantuan jaringannya yang ke-125 dalam liga divisyen utama ketika mencetuskan gol pembukaan Lewandowski -- bagi memastikan kemenangan Bayern.

Sane turut menemui sasaran dalam perlawanan menentang Kiel dan Flick gembira untuk melihat pemain itu terus meningkat biarpun berdepan kesukaran sejak menyertai Bayern daripada Manchester City.

"Saya tidak gemar memperkatakan tentang pemain secara individu tetapi dia melakukannya dengan amat baik dalam mempamerkan apa yang pasukan ini mahu lihat daripadanya.

"Kami dapat melihat perkembangan yang baik. Dia membuktikan hari ini bahawa dia sentiasa bagus dalam menghasilkan bantuan atau gol," katanya lagi.

Dengan RB Leipzig terikat 2-2 dengan Wolfsburg semalam, juara bertahan Bundesliga, Bayern, kini berkelebihan empat mata di tangga teratas liga.