LIVERPOOL 1 NAPOLI 1

Fabinho menderita kecederaan ketika Liverpool seri 1-1 dengan Napoli dalam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) di laman sendiri, kata pengurus, Jurgen Klopp.


Pemain antarabangsa Brazil tersebut ditimpa kecederaan pada minit ke-14 dalam pertembungan di Anfield itu awal pagi tadi sehingga memerlukan rawatan di pergelangan kakinya selepas bertembung dengan penggempur kelab Itali berkenaan, Hirving Lozano.

Fabinho kemudian perlu dikeluarkan selepas cuba meneruskan permainan, justeru Klopp berkata pemain tengah tersebut memerlukan ujian lanjut bagi memeriksa sejauh mana tahap kecederaannya.

"Saya tidak tahu, dia menanggung kesakitan, jadi itu tidak bagus," kata Klopp dalam sidang akhbar. "Dia tidak dapat meneruskan perlawanan dan dia begitu bergelut.

"Saya tidak mahu menyatakan apa yang saya jangkakan kerana saya berharap ia tidak begitu serius tetapi esok kita mungkin akan mendapat maklumat yang lebih banyak, atau mungkin lusa."

Liverpool terlepas peluang untuk menjamin tempat dalam pusingan seterusnya selepas perlu bangkit untuk meraih keputusan seri 1-1 menerusi tandukan Dejan Lovren pada minit ke-65 selepas Dries Mertens terlebih dahulu meletakkan pelawat di depan pada minit ke-21.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu akan menanti kunjungan Brighton & Hove Albion bagi aksi seterusnya Sabtu ini.