Pertahanan Brazil, Danilo, disahkan terlepas baki saingan Piala Dunia 2018 selepas mengalami kecederaan buku lali.

Pemain Manchester City itu hanya beraksi sekali buat pasukan bimbingan Tite itu di Russia, iaitu ketika Brazil diikat 1-1 oleh Switzerland dalam aksi pertama.

Bagaimanapun, kecederaan buku lali yang dialami bermakna pemain berusia 26 tahun itu akan berehat sepanjang kejohanan selepas disahkan oleh Konfederasi Bolasepak Brazil (CBF), semalam.

"Danilo mengalami kecederaan buku lali dan tidak akan sempat untuk pulih sebelum tamat saingan Piala Dunia," kata seorang wakil CBF.

"Selepas perbincangan, dia akan kekal di Russia. Kami berharap agar dia cepat pulih."

Brazil menjadi pilihan untuk menjuarai saingan Piala Dunia kali ini dan akan berdepan cabaran Belgium di Kazan dalam aksi suku akhir, awal pagi esok.