Alvaro Morata percaya Cristiano Ronaldo ketagih untuk menjaringkan gol selepas bintang Real Madrid itu gagal memanfaatkan peluangnya ketika berdepan Athletic Bilbao.

Morata muncul sebagai wira Real apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-83 dalam perlawanan yang berkesudahan 2-1.

Ronaldo gagal mencipta sebarang jaringan gol dan Morata mempertahankan persembahan Ronaldo engan berkata kapten pasukan Portugal itu juga seorang manusia.

"Selepas anda sudah biasa menjaringkan 70 gol dalam satu musim, ia telah menjadi satu ketagihan untuk meledak gol," kata Morata.

"Pada kami, Ronaldo merupakan pemain yang penting di dalam pasukan dan saya berharap dia akan terus menjaringkan banyak gol tetapi dia bukannya robot.

"Dia adalah manusia, jika dia datang dari planet lain, dia tetap akan melakukan kesilapan."

Morata kini telah menjaringkan dua gol La Liga dalam sembilan perlawanan dan hanya telah membuat empat penampilan dalam kesebelasan utama.

Pengurus, Zinedine Zidane, telah berjanji untuk memberikan peluang kepada pemain berusia 24 tahun itu lebih masa beraksi dan Morata berkata dia tidak sabar untuk perlawanan akan datang.

"Setiap pemain mahu beraksi pada setiap masa tetapi perkara yang paling utama adalah kehadiran saya amat penting untuk pasukan.

"Kami memiliki 25 pemain dan ia menyukarkan tugas Zidane untuk memilih pemain. Ia merupakan masalah yang baik.

"Kami adalah pasukan yang mahu memenangi perlawanan bersama. Selepas tamat perlawanan, Zidane mengucapkan tahniah kepada saya dan kami harus bekerja keras untuk perlawanan akan datang."