Pengurus England, Gareth Southgate, memuji keberanian Jadon Sancho yang beraksi di luar negara pada usia muda sambil memberikan pemain muda Borussia Dortmund itu peluang pertama menyertai barisan senior kebangsaan.

Sancho, 18, menyertai barisan 25 pemain untuk perlawanan Liga Negara-Negara Eropah berdepan Croatia dan Sepanyol bersama dua lagi muka baru, Mason Mount dan James Maddison.

Pemain sayap itu menerima panggilan tersebut selepas mempamer aksi meyakinkan dalam permulaan musim ini, termasuk diletakkan dua kali dalam kesebelasan utama saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Tumpuan terarah kepadanya sebaik meninggalkan Manchester City musim lalu, namun keberaniannya mengambil risiko memberi pulangan sebaik keterujaan Southgate menyaksikan aksinya di peringkat antarabangsa.

"Ia satu keputusan yang berani untuknya beraksi dalam Bundesliga. Dia beraksi di hadapan penyokong yang ramai setiap minggu dan dia berjaya," kata pengurus itu.

"Sancho dan Mount bermain baik dalam membentuk formasi, kami yakin mereka boleh bermain bersama.

"Ia satu keputusan yang besar, namun ini yang kami perlukan atas apa yang kami lalui sepanjang 18 bulan yang lalu. Kami kekurangan pemain tengah ekoran kecederaan, jadi inilah peluang mereka.

"Kami rasakan ada beberapa pemain muda yang berpotensi, jadi ini juga peluang kami untuk menguji mereka.

"Ia satu keputusan yang drastik, namun mereka memaparkan aksi yang meyakinkan di peringkat kelab," tambahnya.