AC MILAN 2 GENOA 1

Pertahanan AC Milan, Alessio Romagnoli, menjaringkan gol dalam masa kecederaan untuk kemenangan dramatik 2-1 ke atas Genoa bagi skuad kendalian Gennaro Gattuso itu melonjak ke tangga keempat Serie A di San Siro, awal pagi tadi.


Romagnoli pada awalnya menjadi punca kepada jaringan penyamaan Gerona apabila usahanya menampan percubaan Christian Kouame terbias ke gawang Gianluigi Donnarumma untuk perlawat menjaringkan gol penyamaan, 11 minit selepas bermula babak kedua.

Keadaan itu menamatkan kelebihan awal Milan yang terlebih dahulu memperoleh jaringan menerusi Suso pada minit keempat.

Bagaimanapun, Romagnoli bangkit menjadi wira Milan apabila bijak membaca gerakan penjaga gol lawan, Ionut Radu, sebelum memastikan mata maksimum pasukannya menerusi gol pada masa kecederaan.

Skuad kendalian Gattuso kini melawati kemenangan berturut-turut buat kali pertama sejak tumpas kepada jiran setempat, Inter Milan, 10 hari lalu.

Suso -- yang masih segar dengan kejayaan menumpaskan Sampdoria minggu lalu -- meletakkan permulaan baik buat Milan menerusi ledakan kaki kiri dari jarak 25 ela yang menewaskan Radu pada minit keempat.

Percubaan Frank Kessie kemudian tersasar di sisi gawang sebelum percubaan Gonzalo Higuain melambung tinggi untuk Milan memberi amaran sepanjang 20 minit pertama perlawanan.

Anak buah Gatusso hampir menerima padah akibat tidak menyempurnakan peluang-peluang awal mereka sebaik Krzystof Piatek melakukan percubaan yang hampir menewaskan Donnarumma.

Radu kemudian dipaksa beraksi selepas dua minit babak kedua bermula dengan tolakan dengan hujung jarinya berjaya menafikan percubaan Higuain.

Amaran tersebut gagal dibaca Milan apabila mereka dibolosi pada minit ke-55 selepas rembatan Kouame terkena Romagnoli yang kemudian menewaskan Donnarumma.

Namun, Romagnoli menebus kehampaan itu menerusi satu lambungan menarik dari jarak 20 ela yang menewaskan Radu dalam masa kecederaan.