PSG 3 BASEL 0

Pemain sayap Paris Saint-Germain, Lucas Moura, teruja dengan kebangkitan pasukannya apabila berjaya menewaskan Basel 3-0 di laman sendiri dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.


Basel berpeluang berada di depan pada babak pertama apabila menyaksikan dua percubaan mereka sekadar menggegar palang.

Namun, kegagalan melakukan penyudah bingkas dihukum PSG yang meledak tiga gol.

Bekas pemain Real Madrid dan Manchester United, Angel Di Maria, membuka tirai jaringan dengan gol pertamanya musim ini pada minit ke-40 sebelum Moura menyumbang gol kedua memasuki tempoh 60 minit.

Penyerang Uruguay, Edinson Cavani, menambah gol ketiga menerusi sepakan penalti di hujung perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Unai Emery kini berpeluang mara ke pusingan 16 jika berjaya mencuri tiga mata berdepan lawan sama di Switzerland.

"Perlawanan yang sukar buat kami, terutama pada awal permainan, namun selepas itu kami mula menguasai hantaran bola dan kami mendominasi sepenuhnya babak kedua," Lucas memberitahu SFR.

"Saya gembira dengan prestasi pasukan. Pentas Liga Juara-Juara Eropah bukan mudah, jadi apabila peluang itu hadir, kami perlu menyempurnakannya.

"Saya mengambil kesempatan daripada kesilapan pertahanan tetapi sebagai seorang pemain, kamu perlu kekal bersedia."