Legenda Argentina dan Napoli, DiegoMaradona, terus menunjukkan pemulihan yang luar biasa daripada kecederaan otak, kata doktor peribadinya, Leopoldo Luque.

Pengendali berusia 60 tahun itu menjalani pembedahan subdural haematoma Selasa lalu, sehari selepas dimasukkan ke hospital kerana disyaki mengalami anemia dan dehidrasi.

Luque sebelum ini mendedahkan Maradona perlu berada di hospital sekurang-kurangnya sehingga hari ini dan kemudian memberikan perkembangan terkini mengenai keadaan penyerang legenda berkenaan.

"Diego semakin baik, jauh lebih baik," katanya ketika ditemui di luar Klinik Olivos, Buenos Aires.

"Keadaannya semakin baik setiap hari. Pemulihannya amat luar biasa. Dia amat tenang."

Maradona, yang memenangi Piala Dunia 1986 bersama Argentina dan membantu Napoli menjuarai dua gelaran Serie A, membimbing Gimnasia y Esgrima La Plata sejak 2019.

Kelab itu melalui perlawanan pertama mereka sejak ketua jurulatih berkenaan dimasukkan ke hospital dan mengikat Velez Sarsfield 2-2 dalam liga divisyen utama Argentina hujung minggu lalu.

Pemain Gimnasia memaparkan kain rentang dengan tulisan "kami bersama anda" sebelum perlawanan itu dan penolong jurulatih, Sebastian Mandez, berharap Maradona dapat berbangga dengan aksi yang dipamerkan mereka.

"Ia minggu yang rumit. Diego masih di hospital dan kami semua menyedarinya.

"Kami sudah membina satu pasukan yang kuat dan kami semua adalah satu keluarga.

"Apabila seorang terjatuh, yang lain akan mengangkatnya. Akan sentiasa ada kata-kata semangat yang menjadikan pasukan ini sentiasa sihat.

"Ia turut menjadikan pasukan ini sukar ditewaskan di atas padang.

"Ia minggu yang sukar dan kami menanganinya dengan baik.

"Khabar terbaru yang saya terima berkenaan Diego adalah dia berada dalam keadaan yang sangat baik. Mujur dan syukurlah kerana itu apa yang kami semua harapkan.

"Dia berada dalam suasana yang baik dan melepasi beberapa hari ini dengan cara terbaik," katanya.