Walaupun sekadar seri tanpa jaringan dengan kelab Bola Sepak Kementerian Kewangan (MOF FC) dalam aksi Liga FAM semalam, penolong pengurus kelab Bola Sepak Kadazan Dusun Murut (KDMM FC), Ebby Roy, yakin perlawanan itu menjadi batu loncatan bagi mereka untuk mencapai keputusan lebih baik.

"Persembahan pasukan lebih baik berbanding perlawanan sebelum ini, termasuk ketika kami kalah (4-0) kepada lawan sama dalam saingan Piala FA di Stadium Likas, tiga minggu lalu.

"Kami memiliki banyak peluang, malangnya gagal diterjemahkan kepada gol. Apapun, saya harap mata pertama musim ini daripada perlawanan itu akan menjadi batu loncatan untuk mencatat keputusan lebih baik, seterusnya menamatkan kebuntuan jaringan pada perlawanan akan datang," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, semalam.

Perlawanan bertemu MOF FC itu adalah yang ketiga buat skuad bimbingan Andrew Majanggim dalam saingan liga di mana dua perlawanan sebelum ini mereka tewas.

Selepas tewas di tangan MOF dalam saingan Piala FA, KDMM juga tewas 0-4 kepada kelab Bola Sepak Universiti Kebangsaan Malaysia (KL UKM FC) dalam perlawanan sulung liga di tempat lawan dan kecundang 0-1 di tangan KL Felcra FC dalam perlawanan kedua di tempat sendiri di Stadium Keningau, minggu lalu.

"Tindakan penyudah adalah antara yang akan diberikan fokus sebelum perlawanan akan datang," kata Ebby.

KDMM akan meneruskan cabaran menentang Kelantan MPKB Bri U-Bes FC di Stadium Mouhammed IV, Kota Bharu, 12 Mac ini.