"Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diminta menangguhkan keputusan sama ada untuk membatalkan atau meneruskan saingan Liga Malaysia sehingga Jun depan."

Kenyataan itu disuarakan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Sadek Mustaffa, yang berpendapat dengan mengambil kira perangkaan jumlah positif terkini Covid-19 serta senario kemungkinan dan impak kerugian kepada industri bola sepak tempatan,ia perlu ditangguhkan.

Ahad lalu, Nadi Arena melaporkan industri bola sepak tempatan dijangka menanggung kerugian yang dianggarkan melebihi RM100 juta jika saingan liga tempatan dibatalkan ekoran penularan wabak Covid-19.

Anggaran itu merangkumi pelbagai aspek terutama penajaan dan kontrak pemain membabitkan semua pertandingan.

Justeru, Sadek menggesa agar KBS selaku kementerian yang menguruskan sukan prestasi tinggi mengambil kira semua aspek sebelum berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau Liga Bolasepak Malaysia (MFL) perlu mengutarakan cadangan kepada MKN dan KKM untuk meneruskan liga dan mereka perlu disiplin sambil mengikut setiap garis panduan yang amat ketat telah ditetapkan agar gelombang kedua coronavirus tidak akan berlaku kepada Malaysia," katanya.

"Ini bergantung kepada sejauh mana MFL dan FAM serta KBS dapat meyakinkan MKN dan KKM bahawa liga boleh dilaksanakan berdasarkan SOP yang ditetapkan. Ia juga harus disokong serta didukung oleh pemain sendiri."

FAM ketika ini menunggu keputusan rasmi daripada kerajaan berhubung arahan menghentikan sementara Liga Malaysia musim 2020 yang dijangka akan diketahui minggu ini.

Sementara itu, tatkala ada pasukan sudah mengusulkan hasrat untuk liga malaysia musim ini dibatalkan, Persatuan Bolas Sepak Perak (PAFA) pula mempunyai pendirian berbeza.

Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menegaskan PAFA selaku ahli gabungan FAM perlu menyokong apa juga usaha badan induk itu termasuk meneruskan saingan liga tanpa penonton.

Difahamkan, FAM dan MFL merangka beberapa prosedur operasi standard (SOP) baru untuk setiap pasukan bertanding dengan kesemua pemain dan pegawai pasukan diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 dalam usaha mengurangkan risiko dijangkiti wabak itu.

"Saya dan seluruh peminat bola sepak sebenarnya mengharapkan saingan dapat disambung, namun paling penting, sebagai persatuan negeri, PAFA pasti akur dengan setiap saranan kerajaan Malaysia atau badan induk bola sepak Malaysia demi kebaikan semua," ujar Faizal.