Yakult KB City League telah mengumumkan senarai 12 pemenang yang menerima wang tunai RM100 setelah video kreatif mereka yang bertemakan ‘duduk di rumah’ menarik perhatian juri jemputan.

Penasihat Yakult KB City League, Mohd Zuki Deraman, berkata peraduan itu dikhaskan kepada pemain bawah 14 tahun yang menyertai liga sahaja.

Sebanyak 36 penyertaan telah diterima daripada 12 pasukan yang bertanding dan ini membuktikan pemain muda sentiasa berusaha menjaga kecergasan diri biarpun liga dihentikan seketika akibat Covid-19.

“Hadiah wang tunai RM100 akan dikreditkan terus ke dalam akaun pemenang manakala produk Yakult akan diberikan selepas PKP ditamatkan. Tahniah kepada semua pemenang dan cuba lagi kepada yang tidak berjaya.

“Mereka boleh melayari laman sosial facebook yakultkbcityleaugue untuk mendapatkan keputusan penuh dan melihat semula video yang dipilih oleh juri,”ujarnya.

Dalam perkembangan yang sama, Mohd Zuki, yang juga Presiden The Red Warriors City Club (TRWCC), mengesahkan liga Yakult KB City ini akan disambung sebaik mendapatkan pengesahkan daripada pihak yang berkenaan.

“Insya-Allah, kalau keadaan sudah pilih seperti biasa dan kerajaan mengisyitiharkan kejayaan mengatasi Covid-19, liga ini akan disambung semula sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat baru-baru ini,” katanya.

Untuk rekod, edisi sulung kejohanan itu disertai 12 pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan dan dijalankan secara liga.

Kejohanan anjuran TRWCC dengan kerjasama Yakult (M) Sdn. Bhd dan Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSNK) itu sempat berlangsung selama dua minggu sebelum penganjur membuat keputusan menangguhkannya akibat pandemik berkenaan.