Pemain paling veteran Jepun, Kazuyoshi Miura, memeterai kontrak baru bersama pasukan Liga J1, Yokohama, menjelang usia 54 tahun.

'King Kazu', yang merupakan penjaring tertua dalam kancah profesional Jepun, menyatakan komitmennya bersama kelab itu untuk musim ke-17 dan yang ke-36 sepanjang kariernya.

Miura akan menyambut ulang tahunnya pada 26 Februari depan, sehari sebelum kempen Liga J1 dilangsungkan.

September lalu, dia menjadi pemain tertua dalam sejarah kejohanan tertinggi Jepun itu ketika muncul menentang Kawasaki Frontale pada umur 53 tahun 210 hari -- dia kemudian membuat tiga penampilan lagi pada musim itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelab itu, Miura mengatakan "harapan dan minatnya terhadap bola sepak tetap membara" sungguhpun hanya membuat tujuh penampilan liga dalam dua tahun terakhir.




Gol terakhir Miura hadir pada Mac 2017, iaitu ketika dia mencetak gol tunggal ke atas pasukan divisyen kedua, ThespaKusatsu Gunma, ketika berusia 50 tahun 14 hari. Ia mengangkatnya sebagai penjaring tertua dalam liga profesional Jepun.

Selepas memulakan kariernya bersama Santos pada 1986, Miura telah menghiasi setiap musim Liga-J sejak ia dilancarkan pada 1993 selain menjadi pemenang pertama dari Jepun yang menjulang anugerah Pemain Terbaik Asia pada 1992.

Miura, yang melakar 55 gol dalam 89 penampilan antarabangsa, juga pernah mewakili Genoa, Dinamo Zagreb dan Sydney FC.

Dia muncul salah seorang daripada tiga pemain yang telah meledak lebih daripada 50 gol untuk Jepun di samping Kunishige Kamamoto dan Shinji Okazaki.