Kavishkumar sertai FC Tokai

Oleh Penulis Jemputan 27 Disember 2017 7874
Kavishkumar sertai FC Tokai
Selepas dua kali menjalani ujian pemilihan di Jepun, M. Kavishkumar berjaya mendapatkan kontrak dengan sebuah kelab negara itu untuk musim 2018.

Status sebagai pemain amatur tidak menjadi penghalang buat Kavishkumar untuk mendapatkan kontrak dengan kelab divisyen empat Jepun, FC Tokai.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur berusia 20 tahun ini ke Jepun untuk menjalani ujian pemilihan baru-baru ini dengan menanggung perbelanjaan sendiri.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria itu mengikat kontrak setahun bersama FC Tokai dan akan kembali ke Jepun bersama pasukan barunya itu Mac depan.

"Ayah sentiasa memberikan nasihat kepada saya jika enggan mengambil risiko, kita tidak akan pergi jauh. Selepas mendapat tawaran ini, saya tidak berfikir panjang dan mengambil peluang ini dengan sebaik mungkin," katanya.

Kavishkumar sebelum ini hanya mempunyai pengalaman beraksi dengan Pasukan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) dalam saingan Piala Belia.

Kavishkumar juga adalah pemain tempatan ketiga ke Jepun selepas pemain kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Nazirul Naim Che Hashim, yang pernah bersama kelab divisyen tiga Jepun, FC Ryuku, sebelum ini.

"Saya akan berusaha di sana untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi nanti. Jika tidak berjaya, saya juga sedia menerima sebarang tawaran untuk beraksi di luar dan dalam negara," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen