MALMO 2 BESIKTAS 0

Loris Karius melakukan kesilapan yang tidak boleh dimaafkan dalam perlawanan keduanya di peringkat Eropah bersama Besiktas selepas dipinjamkan daripada Liverpool musim ini.


Besiktas tewas 0-2 kepada Malmo dalam saingan Kumpulan I, Liga Europa awal pagi tadi, dengan Karius menjadi punca mereka bolos jaringan pertama.

Berpunca daripada satu hantaran lintang yang terbias ke badan Caner Erkin, Karius yang cuba menyelamatkan situasi tersebut tertampan bola ke gawang sendiri.

Karius, yang turut melakukan dua kesalahan memalukan ketika Liverpool tewas kepada Real Madrid dalam aksi final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu, sekali lagi tewas dalam babak kedua.

Gandingan Erkin dan Karius nyata tidak menjadi, dengan Erkin melakukan kekasaran ke atas Andreas Vindheim dalam kotak penalti sebelum Markus Rosenberg menyempurnakan jaringan tersebut untuk gol kedua Malmo.

Saingan kumpulan I masih lagi terbuka selepas dua perlawanan dengan kesemua pasukan ketika ini mengumpul tiga mata.

Karius sebelum ini beraksi kemas ketika membantu kemenangan 2-0 Besiktas menewaskan Kayserispor dalam perlawanan pertama.