Karier Messi boleh cecah 39 tahun, kata Xavi 

Oleh Shaiful Shamsudin 5 Mei 2020 83
Karier Messi boleh cecah 39 tahun, kata Xavi 
Lionel Messi mampu beraksi sehingga usia 40 tahun, menurut bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Xavi.

Pemenang enam Ballon d'Or itu kini mencecah umur 32 tahun, namun masih di kemuncak prestasi bersama Barca musim ini apabila melakar 24 gol sebelum krisis wabak novel koronavirus (Covid-19) melanda Eropah. 

Messi dianggap nadi kepada kejayaan Blaugrana, sehubungan itu Xavi berasakan masih banyak yang mampu ditawarkan bintang Argentina berkenaan, baik di peringkat kelab mahupun antarabangsa.

"Dia masih mempunyai lima atau tujuh tahun yang baik untuk diharungi," kata bekas perancang Sepanyol itu mengenai Messi dalam satu temu bual di Instagram dengan seorang lagi bekas penyerang Barca, Samuel Eto'o.

"Dia bijak menguruskan dirinya sendiri dan dia boleh terus beraksi sehingga mencapai umur 37, 38 atau 39 tahun.

"Dia akan bermain dalam Piala Dunia Qatar, saya yakin."

 
Sekiranya karier Messi berpanjangan, Xavi berharap sempat mengambil alih tugasan selaku pengurusnya. 

Kini mengendalikan Al Sadd, Xavi menerima tawaran daripada bekas majikannya itu awal tahun ini sebelum Quique Setien dilantik sebagai pengganti Ernesto Valverde.

"Januari lalu bukan saat yang tepat," katanya, yang mengulangi ulasan yang dibuat mengenai punca dia menolak tawaran itu awal tahun ini.

"Saya telah berbincang dengan Eric Abidal (pengarah sukan Barcelona) dan Oscar Grau (ketua eksekutif Barcelona) selain diajukan tawaran lumayan, tetapi itu bukan saat yang tepat.

"Saya perlu menimba lebih banyak pengalaman. Melatih Barcelona adalah impian saya. Saya ingin melakukannya suatu hari kelak. Saya sudah mengatakannya berkali-kali."

Malah, Xavi juga mahu menyerap pemain Paris Saint-Germain (PSG), Neymar, sebagai anggota skuadnya.

Penyerang Brazil itu hangat dikaitkan akan kembali ke Camp Nou sejak berhijrah ke kelab ibu negara Perancis itu pada 2017.

"Dalam bola sepak, dia berada dalam kalangan tiga atau lima pemain terbaik dunia, tidak syak lagi," tambahnya. 

"Dia boleh mencetuskan perbezaan.

"Ayuh berharap dia kembali ke Barcelona. Saya merupakan peminat Barcelona dan saya mahukan pemain terbaik di sana."

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen