Kante tunjang Les Bleus -- Hernandez

Oleh Penulis Jemputan 15 Oktober 2018 297
Kante tunjang Les Bleus -- Hernandez
Lucas Hernandez menganggap N'Golo Kante sebagai tunjang kepada pasukan Perancis di atas persembahan yang dipamerkan di atas padang.

Kante merupakan pemain gantian yang tidak diturunkan ketika Perancis seri 2-2 dalam perlawanan persahabatan dengan Iceland, Khamis lalu, dan ketiadaannya jelas kelihatan apabila juara dunia itu bergelut untuk mengawal bahagian tengah permainan tersebut.

Kylian Mbappe mengetuai kebangkitan Perancis selepas ketinggalan 2-0, dengan bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu memaksa Holmar Eyjolfsson menjaringkan gol sendiri sebelum meledak sepakan penalti.

Kante dijangka kembali dalam kesebelasan utama berdepan Jerman dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA awal pagi Rabu ini, dan Hernandez yakin Kante mampu menampilkan impak kepada Les Bleus.

"Perwatakan yang dipamerkan di atas padang, keazaman yang dimilikinya menjadikan Kante pemain yang paling penting," katanya.

"Dia berada di mana sahaja. Memiliki pemain tengah seperti Kante adalah tunjang kepada mana-mana pasukan."

Thomas Lemar menyertai Hernandez di Atletico Madrid pada pra-musim dan mula menyesuaikan diri di bawah kendalian Diego Simeone.

Hernandez berasakan Lemar cepat membiasakan diri berbanding Antoine Griezmann selepas menyertai daripada Real Sociedad pada 2014.

"Lemar seorang pemain yang berkualiti, cepat menyesuaikan diri dengan pasukan, sesuatu perkara yang sukar dilakukan," ujarnya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen