Kante, Drinkwater sedia untuk kunjungan Chelsea ke Roma

Oleh Penulis Jemputan 31 Oktober 2017 41
Kante, Drinkwater sedia untuk kunjungan Chelsea ke Roma
Bos Chelsea, Antonio Conte, bersedia untuk memanggil gandingan tengah, N'Golo Kante dan Danny Drinkwater, bagi menghadapi Roma dalam Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Olimpico, esok.

Skuad The Blues boleh meraih kelebihan lima mata di puncak Kumpulan C jika menewaskan pasukan tuan rumah itu. 

Kante diketepikan selama hampir sebulan dengan kecederaan hamstring ketika tugasan antarabangsa Perancis sementara Drinkwater turun sebagai pemain gantian pada hujung perlawanan ketika pasukannya menewaskan Bournemouth dalam Liga Perdana Inggeris, kelmarin.

Kedua-dua pemain itu akan dipertimbangkan untuk menentang skuad Eusebio Di Francesco, dengan penglibatan Kante akan ditentukan pada hari perlawanan.

"Kami mempunyai Drinkwater dan Kante yang sudah pulih. Apabila anda keluar dengan kecederaan, ia mengambil sedikit masa untuk mendapatkan kecergasan penuh walaupun (Victor) Moses memerlukan lebih banyak masa bermain," kata Conte dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Kante berlatih bersama kami. Dia juga berlatih sebelum perlawanan menentang Bournemouth. Saya rasa sangat penting pada masa ini untuk berbincang dengan pemain dan lihat keadaannya.

"Terdapat dua perlawanan besar sebelum rehat antarabangsa, menentang Roma esok dan kemudian Manchester United pada Isnin.

"Tetapi saya ingin mengulangi bahawa perkara yang paling penting adalah fokus perlawanan demi perlawanan. Perlawanan paling penting adalah esok, melawan Roma."

Conte mengulangi keyakinannya terhadap masa depan Alvaro Morata, yang pada hari ini menegaskan kepuasannya bersama The Blues.

"Saya fikir Alvaro (Morata) adalah orang yang baik dan menikmati tempohnya di London, seronok bermain dengan Chelsea, pasukan yang hebat," kata Conte.

"Dan saya memang tahu di mana dia tinggal bersama isterinya. Ia adalah bangunan sama yang saya tinggal pada musim lalu. Tempatnya menarik dan tidak jauh dari tempat latihan.

"Apabila anda tinggal di luar negara untuk bekerja dan mempunyai banyak tekanan terhadap kerja, ada baiknya anda bersama keluarga anda. Musim ini, sebagai contoh, saya menyelesaikan masalah kerana keluarga saya tinggal bersama saya dan kami menikmati hidup di Cobham.

"Kami menikmati London, menikmati liga ini. Pengalaman hebat untuk saya, untuk Alvaro, untuk setiap pemain yang mengambil keputusan memiliki pengalaman hebat dalam liga yang sangat sukar ini," ujarnya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen