Pengurus Chelsea, Frank Lampard, berkata N'Golo Kante akan kembali berlatih bersama pasukan selepas pemain itu semakin pulih daripada kecederaan pangkal paha.

Kante terlepas kekalahan Chelsea 2-1 kepada Manchester United dalam aksi pusingan keempat Piala EFL di Stamford Bridge, awal pagi tadi.

Pemain kebangsaan Perancis itu diketepikan sejak sesi memanas badan menjelang perlawanan kelayakan Euro 2020 berdepan Iceland pada 14 Oktober lalu.

Lampard menawarkan perkembangan Kante dan mendedahkan bintang Chelsea itu bakal kembali dalam sesi latihan sebelum berdepan Watford dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Kante akan berlatih bersama pasukan dalam masa terdekat," kata Lampard. "Dia seorang pemain yang penting bagi Chelsea.

"Saya mahu memberikan rehat kepada Jorginho dan Mateo Kovacic di atas usaha yang telah dipamerkan untuk pasukan, tetapi saya tidak dapat melakukannya kerana Kante, Ross Barkley dan Ruben Loftus-Cheek masih mengalami kecederaan."

Chelsea tersingkir daripada saingan Piala EFL menerusi sepakan percuma yang disempurnakan oleh Marcus Rashford pada minit ke-73 awal pagi tadi, sekali gus membenarkan United melangkah ke suku akhir.

Michy Batshuayi menafikan jaringan pembukaan Rashford pada minit ke-25 selepas perlawanan melewati minit ke-60 sebelum bintang England itu menjaringkan gol yang mirip dengan percubaan yang kerap kali dilakukan Cristiano Ronaldo.

Lampard berkata, "Kami telah menangi tujuh perlawanan berturut-turut. Kami mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) dan mahu melangkah ke pusingan seterusnya, prestasi pasukan di tahap terbaik.

"Chelsea meletakkan sasaran untuk memenangi perlawanan dan cuba melakukannya dengan sebaik mungkin.

"Banyak perkara positif yang boleh diambil untuk kami. Saya tidak gemar mengalami kekalahan. Tetapi kami harus melihat ke hadapan dan banyak lagi perlawanan penting perlu dihadapi. Sekarang kami akan memberikan tumpuan kepada perlawanan seterusnya."