Jamie Redknapp percaya Harry Kane adalah satu sasaran pembelian yang jelas buat juara Sepanyol dan Eropah, Real Madrid, tetapi percaya bintang Tottenham itu akan kekal jika mendapat bayaran sama seperti Romelu Lukaku dan Sergio Aguero.

Kane telah dikaitkan dengan Madrid dan penyerang England itu akan berpeluang untuk menambat hati juara Eropah itu dalam pertembungan Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu awal pagi esok.

Pemenang Kasut Emas Liga Perdana dua musim berturut-turut itu sedang menikmati satu lagi musim yang cemerlang, dengan menjaringkan 15 gol dalam semua pertandingan untuk kelab dan negara sehingga mengundang pujian ketua jurulatih Madrid, Zinedine Zidane – yang melabelkan Kane seorang penyerang serba lengkap.

Bagaimanapun, bekas pemain tengah Tottenham, Redknapp, tidak melihat kenapa perlunya Kane – terikat kontrak sehingga 2011 selepas menandatangani perjanjian baru Disember lalu – meninggalkan Spurs jika dia mendapat habuan kewangan yang setimpal.

“Dia sudah jauh melepasi itu (minat daripada Real Madrid), tentunya dia menjadi sasaran,” Redknapp memberitahu Omnisport.

“Tapi saya fikir jika Tottenham menawarkannya habuan yang dimahukannya dan membayarnya seperti yang mereka sepatutnya lakukan, kenapa anda mahu ke mana-mana tempat lain?

"Dia sedang bermain dengan baik dengan beberapa pemain yang bagus tapi satu-satunya masalah kini ialah dengan cara permainan ini berjalan, anda perlu meraih wang yang besar.

"Dia seharusnya berada pada tahap yang sama dengan Lukaku dan (penyerang Manchester City) Aguero dan semua pemain terbaik di dunia kerana dia tergolong antara mereka.”

Kane telah menyumbat enam gol Liga Perdana musim ini, satu gol di belakang Lukaku.

Penyerang berusia 24 tahun itu menyumbat 29 gol musim lalu, empat mengatasi Lukaku, dan bekas pemain antarabangsa England, Redknapp, menjangkakan kedua-dua pemain itu akan bersaing untuk anugerah penjaring terbanyak musim 2017-18.