Kane puji Greenwood sebagai penggempur sempurna

Oleh Muzaffar Musa 5 September 2020 2207
Kane puji Greenwood sebagai penggempur sempurna
Kapten England, Harry Kane, menyifatkan Mason Greenwood sebagai "penggempur yang amat sempurna" selepas pemain sayap Manchester United itu mempamerkan aksi menakjubkan dalam sesi latihan pertamanya bersama skuad The Three Lions itu.

Greenwood menerima panggilan pertamanya bersama skuad kendalian Gareth Southgate itu selepas menamatkan musim 2019-20 dengan 10 jaringan daripada 31 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat skuad The Red Devils itu.

Pemain muda kelahiran Bradford itu turut menjaringkan lima gol dalam Liga Europa buat skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer berkenaan dan diiktiraf sebagai penyerang terbaik pernah dilahirkan di Old Trafford sejak Marcus Rashford.

Bercakap menjelang perlawanan pembukaan England menentang Iceland dalam Liga Negara-Negara Eropah awal pagi esok, Kane berkata kepada wartawan: "Mason amat hebat sejak sesi latihan pertama kami.

"Anda boleh katakan yang dia amat berkeyakinan sebagai seorang pemain, dia tidak takut untuk melakukan percubaan, tidak takut untuk mencabar pemain lain dan itulah apa yang sebenarnya kami mahukan.

"Ramai selalu gunakan ayat: 'dia seorang penggempur semula jadi' dan saya fikir ia hanyalah sebahagian daripadanya, anda perlu bekerja keras di tempat dan waktu yang betul.

"Sebahagiannya hanyalah naluri, bola jatuh berhampiran anda di dalam kotak dan anda mampu menyudahkannya tetapi saya fikir, melihatnya sepanjang waktu singkat kami bersama, dia mempunyai penyudah yang amat berbeza -- kaki kiri, kaki kanan, bahagian dalam kaki dan rembatan yang padu.

"Saya fikir ia telah menunjukkan bahawa dia seorang penjaring gol yang sempurna apabila anda boleh menjaringkan gol dalam apa-apa situasi.

"Amat jelas ia hanya tempoh yang singkat tetapi dia benar-benar kelihatan seperti penyerang terbilang dan kami memandang tinggi untuk dia berada dalam skuad kami kerana dia masih terlalu muda," katanya.
   

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen