TOTTENHAM HOTSPUR 2 PSV EINDHOVEN 1

Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane, percaya pasukannya telah memaparkan aksi terbaik sepanjang musim ketika memastikan kemenangan 2-1 ke atas PSV Eindhoven dalam saingan Kumpulan B, Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.


Kapten England itu merupakan watak penting di sebalik kemenangan tersebut.

Dia menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-87 sebelum menanduk masuk gol kemenangan di penghujung perlawanan.

Terdahulu, Luuk de Jong menjaringkan gol pembukaan PSV ketika perlawanan hanya berusia 61 saat.

Spurs kemudian bangkit menguasai permainan, namun kerap dihampakan ketangkasan penjaga gol lawan, Jeroen Zoet.

Walaupun terpaksa menunggu lama sebelum memastikan kemenangan, Kane berasakan pasukannya itu telah mempamerkan aksi terbaik dengan mereka kini hanya ketinggalan tiga mata di belakang Inter Milan bagi perebutan tempat kedua kumpulan.

"Kami kecewa dengan keputusan seri berdepan mereka (di Eindhoven) sebelum ini," kata Kane kepada BT Sport.

"Hari ini, kami sekali lagi bolos awal, namun lebih mendominasi perlawanan dengan beberapa siri percubaan.

"Kami perlu memperkemaskan penyudah.

"Bagaimanapun, itu adalah kemenangan yang baik dalam Liga Juara-Juara Eropah.

"Kami perlu berusaha keras memburu jaringan sepanjang musim ini.

"Kami berada dalam rentak kemenangan dan persembahan itu adalah yang terbaik sepanjang musim ini," tambahnya.

Ketua jurulatih PSV, Mark van Bommel, tetap berbangga dengan persembahan yang dipamerkan pasukan, khususnya penjaga gol mereka, Zoet.

"Kami berjuang seperti singa.

"Kami memperoleh jaringan selepas minit pertama dan kami cuba bertahan sepanjang perlawanan.

"Kami melakukan segala-galanya dan mempunyai seorang penjaga gol terbaik.

"Setiap pemain berjuang habis-habisan dan Tottenham kerap kali dihampakan.

"Disebabkan itu, saya memuji penjaga gol kami," katanya.

Kekalahan itu menyaksikan perjuangan PSV kini di ambang kemusnahan dengan mereka ketinggalan enam mata di belakang Inter yang menduduki tangga kedua kumpulan.