Harry Kane dan Eric Dier memuji Jadon Sancho selepas pemain berusia 18 tahun itu melakukan penampilan sulung bersama England ketika seri tanpa jaringan dengan Croatia, semalam.

Pemain sayap Borussia Dortmund itu menggantikan Raheem Sterling ketika perlawanan berbaki 12 minit di Rijeka dan menjadi pemain pertama yang dilahirkan selepas tahun 2000 mewakili The Three Lions.

Sancho menyerlah ketika tampil di penghujung permainan dan rakan sepasukan, Kane dan Dier, percaya jika dia meneruskan usaha yang ditampilkan, ia akan menjamin masa depannya bersama skuad kebangsaan.

"Persembahannya sangat baik," kata Kane.

"Tahniah di atas penampilan sulung untuk England. Dia hampir mencipta impak untuk pasukan dalam perlawanan ini.

"Sancho perlu meneruskan persembahan ini dan saya yakin dia memiliki masa depan yang cerah," ujarnya.

Dier turut menghamburkan pujian kepada bekas pemain Manchester City itu: "Saya berasakan dia memberikan persembahan berkualiti apabila turun beraksi.

"Sancho seorang pemain yang berbakat dan mampu menjadi pemain utama jika terus bekerja keras."

Sancho dan England akan kembali beraksi esok ketika skuad kendalian Gareth Southgate itu berkunjung ke Sepanyol untuk aksi Liga Negara-Negara UEFA.