Kapten England, Harry Kane, telah memberi sumbangan buat pasukannya dan tidak hanya menjaringkan gol, kata ikon bola sepak wanita Brazil, Marta.

Kane adalah penjaring terbanyak dalam Piala Dunia dengan enam gol dan telah mengetuai The Three Lions melangkah ke separuh akhir tanpa diduga.

Bagaimanapun, Pemain Wanita Terbaik Dunia FIFA lima kali, Marta, menegaskan ada perkara lain yang disumbangkan Kane di atas padang berbanding hanya menjaringkan gol.

"Sejak sebelum bermula Piala Dunia, saya yakin Kane akan melalui kempen yang hebat di Russia dan ternyata dia tidak mengecewakan saya," kata Marta.

"Kita boleh saksikan perbezaan yang dia lakukan buat England, bukan hanya melalui jaringannya tetapi termasuk pergerakan yang mencipta banyak peluang buat rakan sepasukan.

"Kane sedar ini adalah peluang buat dia dan skuad England untuk mencapai sesuatu yang besar. Dia tidak mempamerkan sebarang tanda gemuruh, sebaliknya hanya mahu menyumbat gol dan mendapatkan kemenangan buat England.

"Dia memainkan aksi bola sepaknya yang terbaik dan memberikan perbezaan buat pasukan. Dia juga menunjukkan kemampuan untuk menjadi penyerang bertaraf dunia.

"Kane telah menunjukkan kepada kita apa yang mampu dilakukannya tetapi dia harus fokus.

"Semua pemain dalam skuad England perlu meneruskan usaha bagi mencapai matlamat mereka dan mereka akan berpeluang untuk menjulang Piala Dunia.

"Empat tahun adalah satu tempoh yang lama untuk mendapatkan peluang seterusnya," katanya lagi.

Jika dapat menundukkan Croatia, awal pagi esok, England akan menentang Perancis dalam final pada Ahad tetapi jika tewas, Belgium menanti dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.