Kami tidak mahu puas hati dengan kejayaan ke pusingan 16 terakhir -- Sampaoli

Oleh Staff Writer 7 Disember 2016 1
Kami tidak mahu puas hati dengan kejayaan ke pusingan 16 terakhir -- Sampaoli
LYON 0 SEVILLA 0

Jurulatih Sevilla, Jorge Sampaoli, menggesa pasukannya agar tidak mudah untuk berpuas hati dengan pencapaian mara ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas mencatat keputusan seri 0-0 dengan Lyon awal pagi tadi.


Kelab dari Ligue 1 itu memerlukan kemenangan dan sekurang-kurangnya menjaringkan dua gol tanpa balas untuk memintas pasukan pelawat yang berada di tangga kedua di belakang Juventus dalam Kumpulan H.

Tetapi skuad bimbingan Sampaoli melakukan tugas dengan sebaik-baiknya dan keputusan seri yang dicatat menjamin tempat mereka di peringkat seterusnya.

Sevilla berjaya untuk melepasi peringkat kumpulan dan mara ke peringkat 16 terakhir buat pertama kali sejak 2009-10.

Sampaoli -- yang dikenakan tindakan larangan untuk berada di bangku simpanan ketika kunjungan ke Perancis -- percaya dengan setiap kejayaan yang diraih adalah antara bakat yang ada pada dirinya.

"Kami sepatutnya sudah layak," kata Sampaoli ketika sidang media selepas perlawanan.

"Tetapi apabila anda melakukannya (layak), anda akan menyedari nilai yang ada pada anda.

"Saya gembira kerana dapat mencapai peringkat ini dalam pertandingan yang cukup penting untuk kami.

"Tetapi kami tidak mahu berpuas hati dengan kejayaan ini (ke peringkat 16 terakhir). Impian kami adalah untuk sentiasa melayakkan diri ke pusingan yang seterusnya.

"Adalah penting untuk mengekalkan sasaran kami, iaitu terus memberikan saingan dalam kedua-dua pertandingan (LaLiga dan UCL).

"Semua lawan mempunyai potensi (dalam peringkat 16 terakhir) akan memberikan tentangan, tetapi saya yakin kami boleh menjadi pesaing yang hebat dan penyokong kami akan teruja."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen