Kami tidak berhak tewas -- de Boer

Oleh Staff Writer 3 Oktober 2016 1
Kami tidak berhak tewas -- de Boer
Bos Inter Milan, Frank de Boer, mendakwa kekalahan 2-1 di tangan AS Roma dalam saingan Serie A di Stadio Olimpico awal pagi tadi, sukar untuk diterima pasukannya. 

Pasukan pelawat ketinggalan buat kali kelapan dalam sembilan perlawanan kompetitif musim ini apabila Edin Dzeko menjaringkan gol dari jarak dekat, hanya lima minit selepas perlawanan bermula.

Tetapi selepas prestasi bertambah baik pada separuh kedua, mereka menyamakan kedudukan menerusi Ever Banega, sebelum dibolosi gol kemenangan Roma empat minit kemudian. 

Kekasaran pemain gantian, Stevan Jovetic, menghadiahkan sepakan percuma kepada Roma, yang diambil Alessandro Florenzi. Bola sepakan tersebut ditanduk Kostas Manolas, sebelum terkena Mauro Icardi dan terpantul ke arah gol. 
   
Kekalahan itu membawa Inter turun ke tangga kesembilan dalam liga, tetapi De Boer menegaskan anak buahnya dirundung malang kerana meninggalkan bandar itu dengan tangan kosong.

"Kami tidak layak untuk kalah," katanya. "Pada separuh masa pertama, kami membuat banyak kesilapan, terutama yang melibatkan [Mohamed] Salah yang sangat pantas dan menyebabkan kami banyak masalah.

"Tetapi pada separuh masa kedua, kami mengawal permainan dan dihukum kerana melakukan kesalahan bodoh ketika mereka menjadikan kedudukan 2-1.

"1-1 adalah keputusan yang lebih layak."

Walaupun Inter menempuh tempoh yang sukar pada minggu ini selepas tewas 3-1 dalam Liga Europa di Sparta Prague, de Boer tetap yakin anak buahnya akan kembali kepada rentak kemenangan tidak lama lagi. 

"Jika kami boleh memperbaiki kesilapan, kami akan membuat ia lebih mudah untuk diri kami dan akan menang," katanya.

"Roma adalah pasukan yang hebat dan apabila anda membuat kesilapan seperti dibuat dalam separuh pertama, ia adalah sukar untuk menang.

"Tetapi walaupun keputusan itu tidak baik, pasukan bermain dengan baik pada separuh masa kedua. Kami sangat kukuh dan kami mensia-siakan beberapa peluang yang baik."

Selepas rehat antarabangsa, Inter akan kembali beraksi dalam Serie A dengan menentang Cagliari di laman sendiri.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen