Kami tewas sebaik Bravo dilayangkan kad merah -- Guardiola

Oleh Staff Writer 19 Oktober 2016 0
Kami tewas sebaik Bravo dilayangkan kad merah -- Guardiola

BARCELONA 4 MANCHESTER CITY 1

Pengendali Manchester City, Pep Guardiola, mengakui pasukannya mengibarkan bendera putih sebaik beraksi dengan 10 pemain selepas menyaksikan pasukannya dibelasah 4-0 oleh bekas majikan, Barcelona, dalam saingan kumpulan Liga Juara-Juara Eropah.


Juara La Liga musim lalu itu kini mendahului Kumpulan C dengan perbezaan lima mata selepas hatrik Lionel Messi dan gol solo Neymar mengesahkan malam penuh duka buat Pep.

City mempamer kebangkitkan selepas ketinggalan menerusi gol pembukaan oleh Messi, namun kehilangan Claudio Bravo seawal minit ke-53 memberi impak negatif apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain, sekaligus membuka peluang buat Barcelona menguasai permainan.

"Perlawanan agak terbuka dalam tempoh 50 minit pertama, namun apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain berdepan pasukan yang memiliki kualiti, ia nyata bukan mudah," Guardiola memberitahu BT Sport.

"Kami mencipta banyak peluang. Tetapi perlawanan itu berakhir sebaik kami kehilangan khidmat Bravo.

"Sudah tentu Bravo kecewa kerana dia seorang pemain profesional tetapi inilah bola sepak."

Kesilapan Bravo umpama satu tamparan buat Guardiola, apabila dia memilih untuk membawa masuk pemain antarabangsa Chile itu selaku penjaga gawang utama dan meminjamkan pemain pilihan penyokong, Joe Hart, ke Torino.

Namun, bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich itu sedar wujud kesilapan individu yang menyebabkan pasukannya kini gagal melakar kemenangan selepas empat perlawanan setakat ini.

"Saya perhatikan dalam setiap perlawanan ada sahaja yang berlaku -- gol sendiri, gagal menyempurnakan sepakan penalti dan beberapa perkara lain. Kami perlu mengubah dinamik pasukan ini," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen