Massimiliano Allegri mengecam pemainnya yang dilihat terganggu dengan aksi Liga Juara-Juara berikutnya berdepan Manchester United sehingga memusnahkan rekod kemenangan 100 peratus pasukan ketika bertemu Genoa dalam aksi Serie A.

Semalam, jaringan oleh Daniel Bessa memadamkan gol pembukaan Cristiano Ronaldo, sekali gus menyaksikan mereka tercicir mata buat kali pertama musim ini.

Gol yang disumbat Ronaldo itu merupakan jaringan peribadinya yang ke-400 dalam saingan di Eropah tetapi aksi kelam-kabut Juve menyebabkan Bessa menghukum kesilapan pertahanan.

Namun, Allegri berasa pemainnya terlalu memikirkan aksi bertemu United di Old Trafford awal pagi Rabu ini dan dia kecewa dengan persembahan yang tidak konsisten.

"Kami tidak bermain baik selepas melalui permulaan cemerlang," kata Allegri.

"Kami dibolosi hasil daripada fokus yang hilang. Ia satu situasi yang tidak patut berlaku. Terdapat beberapa aksi di mana Scudetto boleh diraih atau tidak.

"Kami bermain, seperti apa yang dilihat orang ramai, tetapi fikiran berada di Manchester. Kami harus menang. Kami berubah daripada garang kepada seperti tidur dan begitulah sebaliknya."

Bessa menanduk masuk bola hantaran lintang Christian Kouame pada minit ke-67 tatkala barisan pertahanan Juve banyak melepaskan bola.

Allegri berharap kekurangan fokus akan dijadikan sebagai satu pengajaran.

"Sebelum gol lawan terhasil, 10 minit sebelum itu menyaksikan kami sukar untuk mengekalkan rentak.

"Kami dapat lihatnya dari tepi padang. Saya rasa ia bagus buat kami. Semua orang masih ingat bahawa tiada apa yang boleh dipergunakan.

"Bola melantun selama tiga atau empat saat. Jadi, kami memerlukan masa untuk mara dan mengawal pemain lawan di dalam kotak penalti tetapi kami mula hilang fokus sejak aksi bermula."

Juventus kini tujuh mata mengatasi pasukan tangga kedua liga, Napoli, selepas sembilan perlawanan tetapi perbezaan itu akan dirapatkan jika skuad kendalian Carlo Ancelotti itu menewaskan Udinese.