MANCHESTER CITY 3 BARCELONA 1

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, mengisytiharkan bahawa skuad bimbingannya telah menundukkan pasukan terbaik di dunia susulan kemenangan 3-1 mereka ke atas Barcelona dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.


Selepas rebah 4-0 di Camp Nou bulan lalu, City mempamerkan aksi berkeyakinan tinggi pada separuh masa kedua untuk meraih tiga mata selain merapatkan jurang mereka dengan pendahulu Kumpulan C itu.

Lionel Messi terlebih dahulu menggegar gawang lawan di Stadium Etihad sebelum Ilkay Gundogan menyamakan kedudukan apabila mengambil kesempatan di atas kesilapan Sergi Roberto yang cuba melakukan hantaran di bahagian pertahanan.

Permulaan garang pada babak kedua meletakkan tuan rumah di hadapan menerusi sepakan percuma Kevin De Bruyne sebelum Gundogan sekali lagi mengukuhkan kedudukan mereka dengan ledakan gol kedua peribadinya.

Guardiola yang gusar dengan rentak permulaan anak buahnya, sebaliknya bertukar kepada nada pujian selepas beliau berasa senang dengan sikap pemain-pemainnya selepas berjaya menyamakan kedudukan.

"Persembahan kami dengan 11 pemain menentang 11 pemain di Barcelona lebih baik berbanding 38 minit awal perlawanan kali ini," katanya.

"Pada 38 minit pertama, kita menyaksikan sebuah pasukan terbaik di dunia. Kami benar-benar berada dalam masalah besar. Ketika Barcelona memiliki peluang untuk menjaringkan gol kedua, permainan bagaikan sudah berakhir.

"Beginilah bola sepak sepertimana Fernandinho tergelincir dan Messi menjaringkan gol di Barcelona.

"Gol kami mengubah rentak perlawanan. Pemain saya mulai sedar saat buruk dalam permainan sudah berakhir.

"Pada babak kedua, kami lebih kompak. Kami memberikan tekanan tinggi dan memenangi banyak bola menerusi usaha itu. Kami merendahkan barisan pertahanan dan menggunakan serangan tengah untuk mengancam mereka."

City menamatkan kemarau enam perlawanan tanpa kemenangan dengan menewaskan West Brom 4-0 pada Sabtu lalu untuk Guardiola berpuas hati melihat pemainnya berada di landasan tepat.

"Dengan situasi yang kami tempuhi untuk membina skuad ini dalam tempoh yang singkat untuk menentang sebuah pasukan terbaik di dunia, selain faktor kedudukan kami dalam kumpulan, kejayaan ini sangat penting," tambahnya.

"Kami masih memerlukan satu lagi kemenangan (untuk layak) untuk memasuki Februari dan saya harap pada ketika itu prestasi kami akan lebih baik. Keputusan seri yang diraih Gladbach (dengan Celtic) memberikan kami sedikit ruang untuk bernafas.

"Kami bertuah kerana jika kami berjaya lolos, kami tidak akan berjumpa Barca pada pusingan berikutnya."

Sorotan perlawanan Manchester City menentang Barcelona