Didier Deschamps menegaskan Perancis tidak akan bermain untuk mendapatkan keputusan seri apabila bertandang ke Belanda dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2018.

Dua pasukan itu kini berkongsi empat mata dalam saingan Kumpulan A.

Bagaimanapun, pertembungan kedua-dua pasukan pada Isnin di Amsterdam dijangka sebagai pertemuan penting dalam mengesahkan slot automatik ke Russia, dan Deschamps memberi jaminan pasukannya akan memburu gol dan bukannya cuba bertahan.

"Sasaran saya dalam setiap perlawanan adalah untuk meraih kemenangan," katanya ketika sesi sidang media.

"Kami turun dengan niat untuk menang. Tiada sesiapa tahu apa yang akan berlaku. Jika kami sekadar seri, kami perlu menerima keputusan itu.

"Tetapi saya tidak akan memberitahu pemain saya untuk mengelak daripada kekalahan, sebaliknya mengingatkan mereka bahawa kami bermain untuk menang."

Ketika pertemuan terakhir Mac lalu yang berakhir dengan kemenangan 3-2 hasil sumbangan bintang West Ham, Dimitri Payet, Deschamps mengakui teruja dengan prestasi semasa pemain itu ketika ini.

"Saya sedar kemampuan dia," tambahnya. "Itulah yang dilakukannya bersama West Ham.

"Saya tidak menyangka dia akan menjadi antara tonggak utama pasukan tetapi itulah yang dia lakukan.

"Dia sangat serasi dengan pemain lain, saya mahu dia kekal efisien, itu yang paling penting."