Jurgen Klopp akur Liverpool menanggung akibat gara-gara terlalu pasif ketika menyerahkan pendahuluan 3-0 untuk kesudahannya seri 3-3 dengan Sevilla dalam Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Kelab Liga Perdana Inggeris itu kelihatan bersedia untuk layak ke peringkat kalah mati apabila mendahului selesa hasil dua jaringan Roberto Firmino dan satu lagi daripada Sadio Mane.

Malangnya, Liverpool rebah selepas rehat di Ramon Sanchez Pizjuan, dengan Wissam Ben Yedder menyumbat dua gol sebelum Guido Pizarro mendapatkan gol penyamaan pada masa kecederaan buat tuan rumah.

Alberto Moreno mengalami igauan buruk ketika kembali ke kelab lamanya, dengan menghadiahkan satu sepakan percuma dan satu sepakan penalti yang membawa kepada gol-gol lawan.

Klopp, bagaimanapun, enggan menyalahkan seluruhnya kepada bek kirinya itu.

“Ia jelas, kami bermain separuh masa pertama yang bagus tapi kami berhenti bermain bola sepak dalam separuh masa kedua,” katanya kepada BT Sport.

“Kami tidak bermain sehingga kami dibolosi gol kedua. Selepas itu, kami meningkat sedikit dan mendapat beberapa peluang tapi mereka mendapat gol penyamaan.

“Apabila anda sedang mendahului, anda harus mengelakkan perkara seperti ini. Ia OK untuk kami berasa yakin selepas separuh masa pertama itu.

"Kemudian kami berhempas-pulas, bukan saja Alberto tapi keseluruhan formasi. Mereka mendapat satu sepakan percuma dan satu sepakan penalti. Tapi masalah sebenarnya ialah kami berhenti bermain bola sepak.

“Kami seharusnya menutup perlawanan ini. Kesilapan utama kami ialah kami tidak lagi bermain bola sepak. Kami menjadi pasif dan bermain terlalu ke bawah,” katanya lagi.

Liverpool, bagaimanapun, masih boleh menjuarai Kumpulan E jika mereka mengalahkan Spartak Moscow di Anfield.

“Kami berasa seperti kalah tapi sebenarnya tidak. Masih ada dua perlawanan lagi dan ia masih dalam kawalan kami. Untuk ketika ini, bagaimanapun, ia adalah menyakitkan,” tambah Klopp.