Jose Mourinho berang selepas ketumpulan penyudah menyaksikan Manchester United terpaksa menelan kekalahan 0-1 di tangan Basel pada saat-saat akhir dalam aksi di tempat lawan, awal pagi tadi.

United hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Liga Juara-Juara sebagai juara Kumpulan A tetapi hasrat itu terpaksa ditangguhkan.

Anthony Martial, Romelu Lukaku, Marouane Fellaini dan Marcos Rojo masing-masing mempunyai peluang keemasan untuk mencetak gol dalam babak pertama selepas United dilihat menguasai hampir keseluruhan perlawanan dan menyaksikan dua percubaan terkena tiang gol lawan.

Basel lebih bijak apabila memanfaatkan peluang ketika perlawanan berbaki seminit untuk ditamatkan apabila Michael Lang mencatat jaringan tunggal untuk mengesahkan tiga mata buat tuan rumah.

"Kami tewas kerana sepatutnya mendahului 5-0 sebelum rehat tetapi tidak dapat mencatat jaringan walaupun mendominasi perlawanan.

"Segala-galanya tampak mudah buat kami dan agak mustahil untuk tidak mencapai kemenangan.

"Tetapi pengalaman menunjukkan kepada anda bahawa jika anda terlepas peluang yang begitu banyak, anda akan berada dalam posisi ketika ini. Mungkin kami rasakan 0-0 sudah cukup tetapi mereka menjaringkan gol pada saat-saat akhir," kata Mourinho.

Kesilapan Daley Blind membolehkan Lang mencuri bola sebelum menewaskan Sergio Romero dan pertahanan Belanda itu mengakui bertanggungjawab di atas kekalahan tersebut tetapi Mourinho tidak mahu menuding jari kepadanya semata-mata.

"Tidak, saya tidak rasa adil untuk menyalahkannya. Blind meraih perlawanan yang positif.

"Kami harus menyalahkan semua pemain di atas padang. Kami terlepas peluang yang begitu banyak dan perlu diingat, risiko sentiasa tinggi apabila anda melepaskan banyak peluang," katanya lagi.