Ketua jurulatih Bayern Munich, Hansi Flick, berharap aksi di atas padang menjadi fokus utama menjelang pertemuan dengan Schalke walaupun sedar kemungkinan menghadapi protes daripada penyokong.

Sabtu lalu, skuad kendalian Flick itu menewaskan Hoffenheim 6-0 tetapi keputusan itu dibayangi dengan protes daripada penyokong tegar Bayern yang memaparkan kain rentang terhadap pemilik lawan, Dietmar Hopp.

Selepas pengadil membawa pemain keluar dari padang untuk menunggu kain rentang itu diturunkan susulan permintaan daripada skuad Bayern, kedua-dua pasukan menamatkan aksi itu dengan melakukan hantaran antara mereka untuk menunjukkan sokongan buat Hopp.

Flick dan Pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge, meminta maaf selepas perlawanan itu di atas situasi yang disifatkan sebagai buruk dan memalukan sambil menggesa semua orang memberi tumpuan kepada aksi suku akhir DFB-Pokal menentang Schalke di Gelsenkirchen.

"Kami di sini kerana mahu bermain bola sepak," ujar pengurus itu.

"Prestasi menentang Hoffenheim dicemarkan oleh penyokong kami sendiri dengan tindakan yang tidak saya terima. Ia harus diatasi.

"Semua orang perlu bersatu tetapi saya mahu fokus kembali kepada sukan."

Ditanya jika dia berfikir protes terhadap jutawan itu dalam Bundesliga akan tamat susulan isu pemilikan liga, Flick menjawawb: "Tidak tetapi penting untuk kelab terus berbincang mengenainya.

"Jika sesuatu berlaku, kami harus bercakap seiring dengan reaksi yang ditunjukkan. Kami perlu berkomunikasi secara dalaman dan tidak perlu ada dua pandangan mengenainya."