Jurulatih skuad B-19 tahun negara, Bojan Hodak, menolak tanggapan faktor nasib membantu pasukannya mara ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-19 di Indonesia, tahun depan, sambil menegaskan mereka sememangnya layak beraksi di pentas Asia itu.

Malaysia layak ke pusingan akhir selaku lima pasukan terbaik tempat kedua saingan kelayakan di Paju, Korea Selatan, selepas muncul naib juara Kumpulan F di belakang Korea.

Bagaimanapun, kemaraan skuad muda negara tampak hadir daripada ihsan pasukan lain susulan kejayaan Arab Saudi menundukkan Yaman 2-1 untuk menyertai Iraq, Thailand, Korea Utara dan Taiwan yang muncul lima pasukan terbaik dalam kalangan 10 pasukan di tangga kedua untuk layak ke Indonesia apabila memiliki kelebihan satu gol berbanding Kemboja.

Untuk rekod, skuad muda negara mencatat tiga kemenangan dan satu kekalahan dalam kempen kelayakan itu. Lebih menarik, pusingan akhir di Indonesia nanti turut menawarkan tiket ke Piala Dunia B-20 pada 2019.

"Apa maksud nasib? Apabila kami menang, orang mengatakan semuanya adalah kerana nasib. Apabila kami kalah, kami buruk. Ini tidak masuk akal.

"Hari ini orang bercakap mengenainya dalam media sosial, malangnya mereka tidak memahami bola sepak. Kalau macam itu, (Pep) Guardiola bernasib baik setiap minggu.

"Kita perlu realistik. Apabila kami pergi ke sana, kami mahu mencapai ke Kejohanan Asia. Ini adalah kejayaan besar. Tiada siapa jangka.

"Kini, untuk bercakap tentang Piala Dunia, kami perlu mengambil selangkah demi selangkah.

"Apabila kami berada di sana nanti, kami perlu berjuang demi setiap mata. Ini adalah pengalaman baru," kata Hodak sejurus tiba di tanah air dari Incheon, Korea, hari ini.

Anak buahnya, Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Nik Akif Syahiran, gembira apabila penat-lelah mereka akhirnya berjaya membanggakan negara.

"Syukur Alhamdulillah kerana kami dapat layak ke pusingan seterusnya. Kami mahu mengucapkan terima kasih kepada penyokong dan semua jurulatih yang banyak mengajar kami. Kami berasa sangat gembira," kata Hadi Fayyadh selaku tonggak serangan negara.

"Selepas bangun daripada tidur, barulah kami tahu bahawa kami layak. Alhamdullillah, saya begitu bersyukur," ujar Nik Akif pula.