Kami ke sini untuk bermain bola sepak -- Klopp pinggirkan Shaqiri

Oleh Penulis Jemputan 6 November 2018 4496
Kami ke sini untuk bermain bola sepak -- Klopp pinggirkan Shaqiri
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menjelaskan keputusannya meminggirkan Xherdan Shaqiri menjelang aksi bertemu Red Star Belgrade dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi nanti, dengan menyatakan bahawa fokus pasukannya itu hanya tertumpu kepada perlawanan.

Shaqiri dilahirkan di Kosovo, sebuah daerah etnik Albania yang berjuang untuk kemerdekaan daripada tentera Serbia pada penghujung tahun 1990-an.

Kerajaan Serbia kemudian enggan mengiktiraf kemerdekaan tersebut.

Pemain berusia 27 tahun itu menjadi tajuk utama akhbar ketika Piala Dunia lalu selepas dia meraikan jaringan kemenangan Switzerland dengan simbol tangan bersilang (lambang helang Albania) ketika menewaskan Serbia.

Klopp tidak membawa Shaqiri ke Belgrade untuk saingan awal pagi nanti dengan dia menyatakan penyerang itu menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.

"Saya banyak menghabiskan masa saya menentukan barisan pemain yang akan digunakan dan setakat ini mereka sentiasa menerimanya," kata Klopp dalam sidang media.

"Kami datang ke sini sebagai sebuah pasukan bola sepak dan mewakili salah satu pasukan terbesar di dunia.

"Itu sebab utama kami ke sini, untuk bermain bola sepak. 

"Kami hanya mahu fokus kepada itu.

"Mereka yang berada di sini pasti lebih mengetahui mengapa kami tidak membawa Shaqiri.

"Saya mahu menytakan di sini bahawa dia pemain kami. Dia masih ada banyak perlawanan yang perlu ditempuhi, namun bukan kali ini."

Liverpool menewaskan Red Star Belgrade 4-0 untuk mendahului Kumpulan C dengan kelebihan satu mata, bulan lalu.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen