Kami bertahan dengan baik -- Kim Swee

Oleh Staff Writer 12 Oktober 2016 0
Kami bertahan dengan baik -- Kim Swee
Skuad negara mempamerkan peningkatan, namun belum memadai untuk mengakhiri penantian kemenangan selepas sekadar seri 1-1 menentang Afghanistan dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee, bagaimanapun, tetap melontarkan pujian terhadap prestasi pemainnya, terutama ketika bertahan, sehingga menyukarkan barisan penyerang lawan.

"Secara keseluruhan, kami bertahan dengan baik, seingat (saya) tiada sebarang percubaan daripada Afghanistan kecuali jaringan gol mereka," katanya. 

Skuad negara mengharungi tiga perlawanan terakhir dengan dua keputusan seri dan satu kekalahan, dengan kali terakhir kemenangan diraih ketika bertemu New Caledonia dalam siri Jelajah Oceania pada Jun lalu.

Berdepan lawan lebih sukar, Afghanistan, skuad negara cemas pada minit kesembilan, mujur percubaan kapten pelawat, Faysal Shayasteh, berjaya diselamatkan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Gawang skuad negara akhirnya bocor pada minit ke-21 apabila sepakan lambung Noarollah Amiri menggegar jaring, sekali gus meletakkan skuad itu di depan.

Skuad negara terpaksa menunggu waktu kecederaan babak pertama untuk menyamakan kedudukan apabila hantaran Matthew Davies disudahkan pemain gantian Hadin Azman dengan tandukan.

"Kami memiliki masalah untuk meledak gol kedua, sama seperti Malaysia yang gagal menggandakan jaringan.

"Pada pendapat saya, ini merupakan keputusan yang baik buat kedua-dua pasukan," kata jurulatih Afghanistan, Petar Segrt, mengulas mengenai corak permainan kedua-dua pasukan yang lebih berhati-hati pada separuh masa kedua.

Peluang terbaik skuad negara untuk menambah jaringan hadir pada minit ke-79, namun hantaran Hadin gagal disudahkan dengan kemas Baddrol Bakhtiar yang menghalakan sepakannya tepat kepada penjaga gol, dan kedudukan 1-1 kekal ke wisel penamat.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen