Philip Lahm mendakwa Bayern Munich masih belum mencapai prestasi sebenar di bawah kendalian Carlo Ancelotti, selepas melihat lima kemenangan berturut-turut di Bundesliga disekat oleh Cologne.

Bayern, yang kecundang di tangan Atletico Madrid pada Selasa, berada di depan di awal babak kedua menerusi Joshua Kimmich sebelum Anthony Modeste menyamakan kedudukan untuk memastikan kedua pasukan pulang dengan satu mata.

Walaupun Bayern bermula garang sejak diambil alih Ancelotti musim ini, Lahm -- yang sekadar memanaskan bangku simpanan -- percaya mereka masih jauh dari mencapai prestasi sebenar.

"Banyak yang perlu dilakukan," katanya.

"Dari menyerang hingga bertahan, banyak yang perlu diperbaiki. Kami masih belum mencapai tahap sepatutnya.

"Kami perlu mencapai prestasi itu secepat mungkin sepertimana kami lakukan sebelum ini. Ketika ini kami telah tewas sekali dan seri sekali.

"Ianya perkara normal untuk beraksi dengan teknik berlainan kerana kami dikendalikan pengurus yang berlainan.

"Sudah tentu kami kecewa apatah lagi gagal mengutip tiga mata di laman sendiri tetapi kami masih di persada liga jadi penting untuk kami perbaiki sebarang kesilapan."