Ketua jurulatih Kelantan, Kamaruddin Mohamad, yakin pasukan kendaliannya mampu mengecewakan Kuala Lumpur dalam separuh akhir pusingan pertama Piala Emas Raja-Raja di Stadium Mini, Universiti Putra Malaysia (UPM), petang ini.

Katanya, peluang kedua bertemu dengan skuad warga kota itu perlu digunakan sepenuhnya untuk membalas dendam kecewa di peringkat suku akhir dalam kejohanan yang sama, tahun lalu.

“Alhamdulillah, kami bertemu sekali lagi dengan Kuala Lumpur, yang mengalahkan kami dalam suku akhir tahun lepas dan ini adalah peluang terbaik membalas dendam.

“Saya percaya skuad Kelantan berada dalam situasi terbaik untuk melangkah ke final kerana kami tidak pernah tewas (di peringkat kumpulan hingga fasa kalah mati) dan kualiti permainan yang dipamerkan semakin meningkat ,” katanya.

Kamaruddin, 56, yang juga bekas penolong jurulatih skuad Liga Super The Red Warriors (TRW), mahukan pemainnya memburu jaringan awal di gelanggang lawan sebelum membuat perhitungan kedua di Kota Bharu, 28 Oktober ini.

“Jaringan di tempat lawan sangat penting untuk memberi motivasi tambahan kepada pasukan dan saya sentiasa mengingatkan jentera serangan supaya bijak menggunakan setiap peluang terhidang untuk mencari gol,” katanya.

Ditanya mengenai kekuatan Kuala Lumpur, Kamaruddin menjelaskan skuad itu memiliki pemain sayap kanan dan kiri yang lincah serta mampu memecahkan benteng pertahanan lawan.

“Mereka (Kuala Lumpur) juga sentiasa mengambil peluang menghasilkan jaringan melalui gerakan bola mati. Jadi, benteng Kelantan perlu sentiasa fokus,” katanya.