BERLIN 3 MONCHENGLABACH 0

Kemarau kemenangan Borussia Monchengladbach dalam kempen Bundesliga berterusan apabila Salomon Kalou meledak hatrik bagi membantu Hertha Berlin meraih kemenangan 3-0 di Olympiastadion, awal pagi tadi.

Kemenangan itu melonjakkan Berlin ke tangga ketiga dengan 20 mata daripada 10 perlawanan sementara Gladbach terperosok di tangga ke-11 dengan 12 mata.

Andre Schubert turun dengan misi untuk menamatkan rentetan empat perlawanan tanpa kemenangan, dengan kejayaan terakhir yang dirakamkan mereka dalam saingan tertinggi Jerman itu adalah pada 4 September lalu dengan membelasah Ingolstadt 4-0.

Hertha turun dengan semangat membara dan berhasil memecah kebuntuan pada minit ke-18 menerusi gol sulung Kalou musim ini selepas menerima umpanan Mitchell Weiser.

Bekas tonggak Chelsea itu mengucar-kacirkan benteng pertahanan Gladbach pada separuh masa pertama dan dia menggandakan kedudukan buat Hertha pada minit ke-33.

Situasi semakin buruk buat pelawat untuk meneruskan sisa kebangkitan mereka ekoran kad kuning kedua yang dilayangkan ke atas Christoph Kramer ketika perlawanan menuju waktu rehat.

Gladbach enggan menyerah kalah dan terus memberi ancaman. Namun, ketumpulan jentera serangan terus menggagalkan usaha mereka untuk menjaringkan gol dalam lima aksi liga.

Kalou menyempurnakan jaringan hatriknya enam minit sebelum perlawanan berakhir selepas menerima satu lagi lorongan Weiser.