"Saya boleh datang bila-bila masa." Itu perasaan teruja yang dikongsikan Marcel Kalonda dalam menunaikan hasratnya menyarung jersi Malaysia sebagai pemain warisan negara.

Kalonda, yang mengakui datuk dan bapanya berasal dari Sabah, mendedahkan bahawa dia hanya menunggu surat Persatuan Bolasepak Republik Congo untuk proses lanjutan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pertahanan, yang pernah meraih kejuaraan Liga Super Zambia pada 2017, 2018 dan 2019 bersama Zesco United, itu memiliki keupayaan untuk mengukuhkan benteng skuad Harimau Malaya, menurut jurulatih negara, Tan Cheng Hoe.

Fizikal dan usianya pasti menjadi tarikan bagi skuad negara yang kini mempunyai purata umur 25 tahun.

"Saya percaya semuanya akan berjalan lancar, lagipun saya tidak pernah mewakili Republik Congo.

"Saya cuma memerlukan dokumen itu diperoleh, kemudian saya akan menghantarnya kepada FAM untuk membuktikan bahawa saya tidak mewakili skuad kebangsaan Republik Congo sekali gus membolehkan saya beraksi buat Malaysia.

"Saya mahu mewakili negara bapa saya kerana ia bagaikan satu rahmat.

"Saya ingat lagi bahawa dia pernah berkata bahawa dia adalah rakyat Malaysia," katanya dalam perbualan di video bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, hari ini.





Dia juga sempat bertegur sapa dengan tonggak naturalisasi pertama kebangsaan, Mohamadou Sumareh, melalui Instagram.

"Dia ada bertanya khabar dan menyarankan saya supaya membuat keputusan yang tepat.

"Namun, saya berminat untuk beraksi buat negara ayah kandung saya (yang telah meninggal dunia).

"Saya sudah bersedia beraksi untuk Malaysia malah kalau diminta FAM ke sana secepat mungkin, saya sudah bersedia," katanya lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi, mengesahkan pemain itu telah menunjukkan komitmen awalnya.

"Kami telah berhubung dengannya dan dia juga telah memberi responds.

"Kami berinya tempoh dua minggu untuk menyediakan dokumen untuk kami nilai tetapi ia belum lengkap bagi tujuan proses imigresen.

"Dia berminat untuk mewakili Malaysia tetapi yang paling penting ialah dokumennya," katanya.