Bekas Presiden Barcelona, Joan Gaspart, percaya LaLiga akan dibatalkan sekiranya Real Madrid menguasai kedudukan teratas tatkala musim ini ditangguhkan berhubung wabak novel koronavirus (Covid-19).

Kempen LaLiga dijangka kembali berjalan bulan depan yang menyaksikan Barcelona mendahului Madrid dengan dua mata di puncak dalam saingan yang berbaki 11 perlawanan itu.

Begitupun, Gaspart, yang merupakan presiden Barca dari 2000 hingga 2003, mengatakan situasi pasti berbeza sekiranya Madrid sedang menerajui liga sebelum penangguhan kancah itu sejak Mac lalu susulan ancaman pandemik berkenaan.

"Sekiranya Madrid memimpin saingan sebelum musim ini ditangguhkan, LaLiga pasti akan diakhiri," katanya kepada Tertulia del 10 del Barca yang dipetik menerusi AS, malam tadi.




Dalam masa sama, biarpun Barcelona memberi tumpuan kepada usaha menjuarai LaLiga, mereka terus dikaitkan dengan bekas bintang, Neymar, yang mahu meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG).

Gaspart berharap tonggak antarabangsa Brazil itu dapat kembali ke Camp Nou selepas meninggalkan mereka pada 2017 dengan harga €222 juta (RM1 bilion).

"Saya ingin melihat Neymar di Barca. Dia masih mampu menawarkan sumbangan," katanya.

"Apa yang saya tidak tahu adalah butiran kontraknya, Saya boleh memaafkannya demi mendapatkannya kembali. Saya mahu dia beraksi untuk Barca."