Bekas bintang Brazil, Kaka, bakal meninggalkan Orlando City apabila kontraknya tamat hujung tahun ini.

Sejak menyertai kelab MLS itu pada Januari 2015, Kaka merupakan tonggak utama pasukan tetapi masa depannya menjadi persoalan apabila memasuki usia 35 tahun.

Dia dikatakan berdepan kesukaran untuk beraksi di tahap terbaik dan pemain yang telah melakukan 92 penampilan buat skuad kebangsaan Brazil itu mengakui masa depannya di Orlando sudah berakhir, namun menolak untuk bercakap mengenai persaraan.

Kaka akan beraksi buat kali terakhir di laman sendiri menentang Columbus Crew pada Sabtu ini, sebelum bertandang ke Philadelphia Union, Ahad depan.

"Seperti yang anda tahu, kontrak saya bersama Orlando City akan tamat pada Disember dan saya membuat keputusan untuk tidak menyambungnya.

"Ia sesuatu yang sedih tetapi ini adalah lumrah pemain bola sepak dan keputusan saya amat jelas. Tempoh saya di sini telah berakhir.

"Satu penghormatan buat saya menyarung jersi ini dan menjadi satu kenangan yang tidak akan dilupakan tetapi apa yang saya tahu, saya bukan lagi pemain Orlando City pada musim depan," katanya.