Kaka melabelkan Lionel Messi sebagai pemain genius dan memilih bintang Barcelona itu berbanding tonggak Juventus, Cristiano Ronaldo.

Messi -- yang memenangi enam gelaran Ballon d'Or -- dan Ronaldo merupakan dua pemain yang dikatakan terbaik sepanjang zaman tatkala perdebatan mengenai siapa paling unggul sentiasa menjadi perbualan.

Kaka beraksi bersama Ronaldo di Real Madrid tetapi pemenang Ballon d'Or 2007 itu memilih Messi.

"Saya beraksi bersama Ronaldo dan dia sangat hebat tetapi saya memilih Messi," katanya.

"Dia seorang pemain genius dengan bakat semulajadi. Corak permainannya begitu memukau."

Namun, apabila bercakap mengenai Ronaldo, Kaka menambah: "Ronaldo adalah seorang mesin. Dia bukan sahaja kuat, berkuasa dan pantas tetapi mentaliti yang ampuh.

"Dia sentiasa bermain untuk menang dan menjadi yang terbaik. Bagi saya, itu perkara terhebat tentangnya.

"Dalam sejarah sukan, kedua-dua pemain ini sememangnya berada dalam kelompok lima terbaik. Kami bertuah kerana dapat menyaksikan kedua-duanya beraksi."