KAFA akur rayuan dapatkan lesen ditolak

Oleh Farizal Yusoff 27 Oktober 2018 1541
KAFA akur rayuan dapatkan lesen ditolak
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akur apabila rayuannya untuk mendapatkan lesen kebangsaan dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ditolak oleh Badan Rayuan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata situasi itu berpunca daripada kegagalan pihaknya memenuhi syarat kewangan yang ditetapkan sambil memohon maaf kepada seluruh penyokong The Red Warriors (TRW).

Beliau juga menjelaskan pihak KAFA telah berusaha sedaya-upaya untuk mendapatkan lesen tersebut demi maruah bola sepak Kelantan, namun kelewatan mengemukakan interim serta berhadapan dengan tiga caj pembayaran kepada bekas pemain dan barisan kejurulatihan seperti yang dilaporkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjadi punca utama penolakan tersebut.

"Kegagalan ini membabitkan bayaran kepada bekas penyerang import TRW, Blazhe Ilijoski, sebanyak RM25,140, bekas ketua jurulatih, Alfredo Gonzalez, berjumlah RM225,940 dan Dramane Traore (RM332,000) manakala satu kes daripada FAM melibatkan sejumlah RM95,845 yang perlu dibayar kepada Brendan Gan.

"Kami terpaksa akur dan menghormati keputusan pihak FAM serta memohon maaf kepada semua peminat sukan bolasepak khususnya rakyat Kelantan akibat kegagalan ini," katanya melalui satu siaran media.

Bibi Ramjani juga mengesahkan Kelantan akan beraksi dalam Liga Perdana, musim depan.

"Ekoran daripada kegagalan itu, Kelantan FA tetap akan terus beraksi dalam saingan Liga Perdana, musim depan.

"Ini kerana lesen yang dipohon ini bagi kelulusan pasukan beraksi dalam saingan Liga Super pada musim 2019," katanya.

Untuk rekod, Badan Rayuan FAM telah bermesyuarat untuk mengkaji semula rayuan yang telah dikemukakan KAFA pada 24 Oktober lalu dan mengambil kata putus mengekalkan keputusan yang dibuat First Instance Body (FIB) pada 10 Oktober lalu kerana persatuan itu gagal menenuhi syarat kewangan yang ditetapkan di bawah peraturan pelesenan.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen