Juventus tuntut Dybala main peranan lebih besar 

Oleh Penulis Jemputan 20 Disember 2017 239
Juventus tuntut Dybala main peranan lebih besar 
Pengurus Juventus, Massimiliano Allegri, menggesa Paulo Dybala agar lebih kerap mencetak gol tatkala penyerang itu bersedia untuk memulakan aksi pertamanya dalam tiga perlawanan kompetitif.

Dybala masuk sebagai pemain gantian ketika menentang Inter Milan dan Bologna tetapi sudah bersedia untuk kembali dalam kesebelasan utama bagi perlawanan Coppa Italia menentang Genoa, awal pagi esok.

Pemain berusia 24 tahun itu telah meledak sebanyak 12 kali dalam Serie A musim ini -- satu gol melebihi pencapaian musim lalu -- sungguhpun dia gagal menemui sentuhan penyudah dalam 10 aksi terakhirnya. 

Dia akan menyertai skuad untuk pertemuan pusingan 16 dengan duo pertahanan, Giorgio Chiellini dan Stephan Lichtsteiner, manakala Gianluigi Buffon, Mario Mandzukic dan Juan Cuadrado kesemuanya akan diketepikan.

"Dybala adalah pemain yang mampu mencecah 15 hingga 20 gol dalam liga. Apabila dia mencapai angka 20 gol, dia akan menyumbang banyak perkara," kata Allegri dalam sidang media pra-perlawanan itu. 

"Dia melakukan tugas lebih besar berdasarkan ciri-ciri kebolehannya. Dybala adalah seorang pemain yang harus mencipta peluang dan menjaringkan gol kerana dia bukan sekadar menunggu umpanan.

"Seperti yang lain, Paulo adalah seorang pemain pintar yang tahu bahawa esok adalah perlawanan penting buatnya dan Juventus.

"Kami mempunyai sistem permainan yang berbeza dalam beberapa perlawanan terakhir dan saya merehatkannya, itu sahaja. ​​Apabila Paulo bermain, kami perlu mengeksploitasikan ciri-ciri yang ada padanya," tambahnya.

Allegri berkata beliau kini perlu membuat keputusan sama ada untuk menurunkan Dybala sebagai penyerang tunggal atau bergandingan di samping Gonzalo Higuain.

Marko Pjaca juga merupakan pilihan selepas pulih daripada kecederaan lutut jangka panjang. Dia mula kelihatan di bangku simpanan dalam kemenangan ke atas Bologna, hujung minggu lalu. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen