SAMPDORIA 3 JUVENTUS 2

Massimiliano Allegri mengakui Juventus hilang ketenangan ketika tumpas 3-2 di Sampdoria yang menyaksikan mereka kalah kepada Napoli dalam perebutan tempat teratas Serie A, lewat malam tadi.


Skuad Bianconeri itu beraksi baik sepanjang 45 minit pertama perlawanan walaupun Gonzalo Higuain dan Juan Cuadrado kedua-duanya mempersia-siakan peluang keemasan dalam tempoh itu.

Tetapi, selepas membuat satu percubaan tepat pada separuh masa pertama, Sampdoria meledak dengan tiga gol dalam babak kedua menerusi Duvan Zapata, Lucas Torreira and Gian Marco Ferrari.

Juve mengurangkan defisit apabila Higuain dan Paulo Dybala masing-masing menjaringkan gol pada masa kecederaan.

"Kami perlukan kesabaran selepas ketinggalan 1-0 dan tidak boleh hilang ketajaman kami kerana perlawanan masih ada 40 minit. Banyak masa untuk mengubahnya," kata Allegri kepada Mediaset Premium.

"Kami mungkin boleh menyamakan kedudukan tetapi terpaksa berada di belakang 2-0. Itu boleh berlaku tetapi kami tidak boleh membuka peluang untuk diserang. Ia mengecewakan.

"Ini adalah satu tamparan tidak dijangka yang membuatkan kami hilang ketenangan. Kami sepatutnya bersabar walaupun keadaan tidak memihak kepada kami. Ia adalah perlawanan yang panjang, kami perlu bertenang," katanya.

Allegri juga menyalahkan Sami Khedira berhubung peranannya ketika Sempdoria memperoleh gol ketiga yang dijaringkan oleh Gianmarco Ferrari.

"Jika Khedira tidak berdiri di sana dengan tangannya meminta keputusan ofsaid, kami tidak akan dibolosi dengan gol ketiga," katanya.

"Ia agak seperti (seri 2-2 dengan) Atalanta apabila kami memperlahankan tempo, kami menghadapi risiko besar."